Google+

Sunday, May 24, 2009

APRESIASI KARYA ABD.LATIF MAULAN Oleh Mohamed Noor bin Othman

APRESIASI KARYA ABD.LATIF MAULAN
Oleh Mohamed Noor bin Othman

Memang ada kebenaran dari kata-kata Leong Tuck Yee dalam ‘Bring The Dark To Light’ yang menyentuh apresiasi karya Abd. Latif Maulan iaitu, what we see is what we get. Karya kontemporari realisisme selalunya cantik, ada kekuatan yang menandingi imej foto dan yang penting ramai pengikut.

Secara keseluruhannya aliran seni realis meneliti dan menguasai permukaan kanvas yang diolah halus dan mengekalkan statusnya menjadikan kesan keasliannya dihayati dalam tempoh masa yang panjang.

Golongan realisme yang masih ada terdiri daripada golongan seniman yang mengerti bahawa penerokaan hasil seni secara evolusi itu membolehkan keaslian dan kehalusan membantu memperkayakan pengalaman. Secara evolusinya keaslian bahan yang digunakan dan idea meresap kukuh menjadi manifesto. Apabila semangat ini dikobarkan dalam setiap zaman, sokongan idea-idea Plato tentang kecantikan, kehalusan, kebebasan dan keaslian semulajadi dijadikan doktrinasi yang berkekalan dalam menyokong aliran realisme.

Idea dan fahaman Plato diyakini berada di setiap zaman. Sejarah seni, teori, falsafah, apresiasi estetik dan kritikan seni meletakkan kedudukan Plato sebagai suatu fatwa dalam menilai seni dan estetika. Selagi adanya semangat Plato selagi itu aliran realisme terus hidup dalam lipatan sejarah dan subur di setiap zaman.

Banyak hujah yang boleh kita temui dalam sejarah seni apabila isu pertembungan aliran ini dibincangkan. Antara yang menariknya ialah persoalan representasi iaitu menggambarkan semula suatu imej asal kepada imej yang baharu. Dikatakan imej representasi boleh dikaitkan dengan pertalian dalam kehidupan. Hujah ini merujuk kepada pandangan Aristotle, bahawa representasi ada bersama dalam aktiviti kemanusiaan, contohnya zaman kanak-kanak sehingga dewasa semuanya berkehendakkan representasi dan inilah yang membezakan martabat manusia dengan haiwan. Jelas sekali representasi itu satu peniruan dalam menggambarkan semula dan berkait langsung dalam kehidupan.

Karya Abd. Latif Maulan adalah contoh representasi. Dalam seni realisme nilai representasi boleh diertikan sebagai perlambangan, mewakili suatu gambaran dan mengulangi suatu gambaran. Dalam Kamus Terjemahan Inggeris-Melayu susunan Ainon Mohd dan Abdullah Hassan (1995:676) representasi itu bererti suatu persembahan semula. Dalam perbincangan ini saya menggunakan istilah ‘suatu penggambaran semula’ bagi mewakili representasi.



Apabila tamadun manusia semakin maju, representasi dilihat dalam lingkungan yang lebih luas. Representasi bukan sekadar peniruan semula tetapi nilai yang ditiru itu diambil kira dari segi estetikanya sehingga wujud berbagai teori.

Kepada seorang pelukis, representasi berada dalam lingkungan alam dan peniruan semula bentuk dan warna yang diterjemahkan sebagai gayaan yang selalu membawa perbezaan antara media dan genre. Olahan bahan dan teknik yang serasi oleh Abd. Latif Maulan boleh kita terjemahkan dari usaha gigih beliau mengunakan kelebihan anugerah Allah, apabila mata dan minda digabung bagi diwujudkan representasi. Hasil menggambarkan semula itu lahir daripada kehalusan perasaan, terserlah daripadanya emosi, citarasa dan gambaran kehidupan alam yang halus sifatnya. Segala keindahan dan representasi kehidupan, dan lambang timbul daripada kekuatan artis mengeksploitasikan kekuatan minda melalui bahasa seni tampak.

Jika representasi bersama maknanya disempitkan semata-mata kepada penyalinan semula maka kekayaan alam tidak dapat dikembangkan melalui pancaindera dan minda manusia. Keaslian representasi itu perlu dilihat dalam dimensi yang fleksibal supaya jangan nanti artis terbelenggu dengannya, sedangkan minda mahu melihat dan membuka banyak pintu yang tidak dapat dilihat oleh orang biasa. Barangkali itulah usaha murni yang dilakukan oleh Abd. Latif Maulan.

Signifikan sesuatu di sebalik reperesentasi dapat dijadikan seni itu ada rasa dan hidup dalam fikiran. Representasi diadun dengan unsur-unsur ton, tekanan, perlambangan, perbandingan dan sebagainya. Persoalan representasi menimbulkan beberapa pemikiran baharu dan teori baru. Jika dikaji pandangan Plato di dalam ‘Republik’ beliau merendahkan karya representasi sebagai suatu peniruan yang melakukan proses dua kali. Kepada Aristotle, beliau melihat representasi adalah bentuk ‘mimesis’ yang membawa maksud penyalinan semula ke arah yang lebih positif. Aristotle mempunyai perspektif yang lebih ke hadapan daripada Plato, kerana beliau melihat representasi yang ditiru semula perlu bermoral ke arah nilai baik yang boleh mengangkat sesuatu karya. Contohnya kesan ‘katharsis’ daripada peniruan itu boleh meninggalkan rasa puas audiens, rasa kekaguman dan insaf akan kebesaran Ilahi. Jika unsur tragedi kesannya menginsaf dan menyedarkan masyarakat, jika imej itu terlalu indah, tidak lupa kita keindahan itu kecintaan Allah SWT.

Kesempurnaan adalah penting dalam berkarya dan representasi membantu menyedarkan kita dalam berkarya perlu ada kesempurnaan. Representasi dapat memperkayakan idea, menjadikan hasilan seni itu kreatif dan bermaruah. Segalanya ini dilakukan dengan baik oleh Abd. Latif Maulan.

Secara kreatifnya, eksploitasi dan manipulasi kamera amat perlu dalam penghasilan lukisan realis. Penggantungan pada persepsi dan mata kadangkala menghasilkan lukisan yang tidak tepat. Akan ada tokok tambah yang melampau. Kenikmatan yang terkurang akibat tokok tambah dan pengurangan akan terjadi. Oleh itu lensa kamera membantu dari segi masa yang tidak mencukupi untuk lakaran yang rumit. Dalam waktu yang sama cahaya sebenar semakin kurang nilainya dan bebayang telah hilang dari komposisi sebenar. Penipuan boleh dibuat tetapi akan ada banyakkan lagi penipuan dalam karya-karya seterusnya yang dapat disoal kembali adakah karya itu tulen mengikut inspirasi realisme.

Kamera juga dapat membantu jika objek yang dilukis itu terlalu terperinci, banyak sudut pepenjuru yang cantik perlu difokuskan. Ada elemen jalinan rumit dan menarik untuk ditonjolkan. Ada cahaya yang kuat menjadi bantuan kamera itu sangat penting dalam proses artis berkarya.

Komposisi pada objek boleh dizoom oleh kamera dan pelbagai sudut pandangan yang menarik dapat dirakam. Keupayaan kamera membantu artis membuat pilihan yang terbaik. Satu pilihan imej dan banyak imej-imej lain dapat dipindah ke komputer dan boleh dibesarkan, boleh dicrop, boleh pindah balik dan diubahsuai warna.

Manipulasi imej foto untuk tujuan melukis membantu artis membuat pilihan terbaik. Walaupun tema dan konsep telah ditentukan sewaktu gambar diambil dengan kamera tetapi apabila kanvas disediakan, waktu ini kuasa ada di tangan artis untuk memilih yang terbaik dan unik. Keseluruhan karya Abd. Latif Maulan berjaya menzahirkan kekaguman, keunikan yang akan terkeluar dari mulut audiens, iaitu sama ada mereka berbisik sesama sendiri atau berbisik di dalam hati iaitu, “ini gambar fotokah atau lukisan”? Adakah ini menunjukkan audiens telah tertipu atau audiens telah dicerdik senikan oleh artis?

Ikuti lebih lanjut artikel berhubung polimik representasi dalam seni tampak antara hujah Leo Steinberg, Vasari Giogio, Malraux dan Ortega Y.T.Gasset dalam blog saya http://risalahproseni.blogspot.com/
Post a Comment

Contemporary Realism Artists

hit counter
hit counter code download